Oh baru saya tahu yang bercinta selepas kahwin ini penyataan yang membuatkan ramai orang tidak bersetuju. Melewati laman Twitter, membawa saya kepada satu penyataan ini. Satu ciapan yang lebih kurang berbunyi seperti ini.
Apa nasihat yang paling korang rasa penting untuk muda-mudi yang nak pergi dating?
Kemudian ada satu akaun retweet ciapan berkenaan dengan komen, “Unpopular opinion: kahwin dulu baru dating. Walaupun aku tahu ramai yang akan bash aku 😔
Terpencil tidak bermaksud tidak benar atau tidak akan berjaya atau mungkin berbahaya!
Tahukah kalian bahawa banyak hikmahnya yang bakal diperoleh apabila bercinta selepas berkahwin.
Bercinta selepas berkahwin bukannya bermaksud kita terjun sahaja ke alam perkahwinan itu tanpa sebarang usul periksa ke atas calon pasangan kita.
BUKAN sama sekali BUKAN.
Ada sesi perkenalannya atau mungkin istilah yang lebih popular dalam membicarakan hal seperti ini ialah taaruf. Taaruf tetap berlangsung dengan penuh adab dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Ringkasnya begini…dua orang hamba Allah yang punya keinginan untuk berkahwin, kemudian menyuarakan rasa hati kepada insan-insan yang dia percayai, atau mungkin menggunakan platform yang lainnya untuk mencari calon. Di sini tujuannya sahaja sudah jelas, mencari calon untuk berkahwin. Alhamdulillah, peringkat ini sudah lepas!
Kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Jadinya, niat yang baik tadi mesti disertakan dengan kaedah yang baik. Nah, di sini taaruf berlangsung! Taaruf ini pula jelas untuk berkahwin. Jadi, segala perbincangan mesti menuju ke arah membina hubungan yang halal melalui perkahwinan. Tiada melewah-lewah, melalut ke hal yang tidak membawa kepada niat asal.
Benar, perkenalan begini tidaklah seindah kisah cinta yang selalu kita tonton dalam media arus perdana. Perkenalan seperti ini tidak membuai-buai perasaan, tidak membuatkan kita tersengih sendirian, tidak membuatkan kita berasa bagai di syurga buatan imaginasi sendiri. Segala tindak-tanduk, setiap masa, di mana sahaja asyik terkenangkan si dia dan ingin sentiasa dekat dengan dirinya.
Itu angau namanya. Jurang itu yang kita semua perlu elakkan. Sekiranya hati yang mencari cinta itu tahu bahawa menjaga fasa taaruf ini punya banyak khasiatnya, pasti semua akan meluru ke jalan ini, bercinta selepas kahwin.
Di sini saya nukilkan tiga hikmah apabila bercinta selepas berkahwin.
1. Lebih rasional dalam menilai cinta
Kita tidak bercintan-cintun dahulu, jadi kita terselamat dari arus deras percintaan yang mampu menghanyutkan. Apa lagi kalau sudah hanyut? Sudah tentu sukar untuk rasional dalam menilai cinta. Pernah dengar ayat ni, “masa bercinta, kentut pun bau wangi!” Malah pengalaman saya dalam baitulmuslim.com, admin nasihatkan supaya setiap perbualan mestilah berlaku melalui ruang komen yang disediakan. Sebarang perbualan di luar pantauan mereka dikhuatiri terjerumus ke arah emosional berbanding menilai segalanya dengan akal yang rasional.
2. Nikmatnya penyerahan diri bulat-bulat kepada Allah SWT
Kita telah bertaaruf dengan sebaiknya, mencari tahu latar belakang dirinya, merisik peribadinya. Namun, tetaplah kita tahu hanya di permukaannya sahaja. Selebihnya, sungguh hanya Allah SWT sahaja yang tahu adakah dia yang terbaik untuk kita. Nikmatnya pada fasa ini kita menyerahkan sebulat-bulatnya urusan kita kepada Allah SWT untuk menentukan segala-galanya. Sekiranya dia baik untuk kita, maka permudahkanlah, jika sebaliknya mohon Allah gantikan dengan dia yang lebih baik untuk kita. Pada fasa ini kita merasakan dada lapang selapang-lapangnya, sama ada jadi atau tidak dengan dirinya, tiada apa yang akan rugi, hilang atau mungkin kurang daripada kita.
Sekiranya kita sudah mula bercinta bagai nak rak, berhabisan masa, kudrat, wang ringgit, malah yang lebih mahal perasaan kita…adakah kita mampu mencapai nikmat penyerahan diri bulat-bulat kepada Allah SWT seperti ini?
3. Nikmatnya berbuka “puasa”
Kita harus faham, hanya yang berpuasa sahaja dapat merasai nikmatnya apabila berbuka puasa. Saya fikir tidaklah terlalu melebih-lebih sekiranya saya katakan cinta, kemesraan, perhatian dan kasih sayang selepas berkahwin adalah lebih asli dan suci. Mengapa? Kerana cinta ini telah diikat dengan tanggungjawab sejurus akad dilafazkan. Cinta hanya dapat direalisasikan apabila adanya tanggungjawab.
Akhir sekali, berbalik kepada tujuan asal perkenalan. Setiap amalan kita dimulakan dengan niat, dan niat yang baik perlu disertakan dengan kaedah yang baik dalam mencapai tujuan yang diinginkan. Matlamat akhir rumah tangga muslim sudah tentu untuk mencapai reda dan syurga Allah SWT. Kita mulakan perjalanan rumah tangga kita dengan merujuk-Nya (melalui istikharah) dan berserah diri kepada-Nya (tawakal), nanti-nanti sekiranya dalam perjalan rumah tangga yang panjang ini yang sentiasa ada pasang surutnya, kita akan kembali berteduh dengan istikharah dan tawakal tadi. Kita percaya jika Allah SWT mengizinkan sesuatu jalan itu setelah istikharah, maka pastinya ada kebaikan sepanjang perjalanan tersebut. Hanya tinggal kita sebagai hamba-Nya perlu jalan terus dalam meletakkan usaha untuk mencapai kebahagiaan.
Wallahualam.
![]() |
“Ya Allah sesungguhnya aku berlepas diri daripada kudratku sendiri”. Inilah monolog hati dalam fasa taaruf sehinggalah terpatrinya akad nikah. |
Comments
Post a Comment