Dua tiga hari ini, atau lebih tepat lagi sudah lama perkara ini bersarang di hati (mungkin selama ini dalam keadaan "in denial state"), saya sentiasa berfikir untuk menjadi seorang yang lebih baik lagi. "Kenapa? Sekarang saya tidak cukup baikkah? Ya, saya berasa "selesa". Selesa dalam ruang lingkup saya sendiri. Saya sedar perkara ini tidak baik untuk saya," diam-diam jiwa ini merintih.
"Ya Allah bantu aku untuk menambah nilai diri, nilai kepada ummah, dan juga nilai pendapatan diri dan umumnya untuk keluarga ini", itu doa saya. Laju jari menskrol page fb melihat konten yang dikongsikan oleh seorang hamba Allah. Lantas mata tertancap pada satu istilah yang baharu bagi saya, "kod khalifah". Setiap orang ada kod khalifah tersendiri dan unik yang Allah SWT berikan kepadanya. Sesuailah dengan satu hadis Rasulullah SAW yang menyatakan, setiap daripada kita ialah pemimpin. Paling tidak, kita ialah pemimpin kepada diri sendiri. Setiap daripada kita ada kelebihan, kemahiran, keunikan atau kecenderungan tersendiri yang dianugerahkan kepada kita yang berbeza-beza berbanding orang lain. Tugas kita adalah untuk mengoptimumkan kelebihan yang dianugerahkan itu.
Justeru, saya berfikir apa kelebihan atau kemahiran saya? Tidak mengambil masa yang lama untuk mendapatkan jawapan tersebut, hati kecil saya bersuara, "aku boleh menulis dengan baik".
Mulalah wahai diri, bermulalah dari hari ini. Yakinlah, suatu hari nanti apabila kau menoleh ke belakang, kau pasti bersyukur dengan langkah yang telah kau mulakan. Lagipun, pepatah terkenal China ada mengatakan, "perjalanan beribu batu, bermula dengan langkah pemula.
Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, ayuh Hidayah mula bertindak sekarang dan istiqamah sehingga berjaya!
Doa sepenuh hati agar segala hajat yang baik dikabulkan oleh Allah SWT.
Aamin...
Cinta selalu menang.
Comments
Post a Comment