Sebelum saya tertarik membaca novel ini, saya terlebih dahulu telah menonton telefilem ini di YouTube. Adik saya telah kongsikan pautan telefilem ini untuk saya tontoni. Niatnya dia adalah untuk memberikan motivasi kepada saya.
Ternyata telefilem ini sememangnya menarik perhatian saya. Telefilem ini mengisahkan seorang perempuan, Zahrana yang tegas dengan pendiriannya untuk mengejar cita-cita beliau dalam dunia akademik, tetapi apabila tiba masanya beliau sangat perlu dan ingin menikah, jodoh yang bersesuaian pula tidak kunjung tiba sedangkan usia sudah menjangkau 30-an. Maka, bermulalah konflik dan dilemanya di situ.
Seingat saya, saya menonton telefilem ini pada tahun 2016, semasa saya belum pun lagi menikah. Dua minggu lepas saya tertarik untuk membaca novel ini, walaupun telah lama saya sedar keberadaan novel ini pada deretan buku di atas rak buku di rumah mentua saya.
Sungguh karya Habiburrahman El-Shirazy ini sememangnya layak digelar karya pembangun jiwa. Watak utamanya, iaitu Zahrana mempunyai karakter yang sangat kuat. Tetapi karakter beliau menjadi sekuat dan setabah itu tidak terbina dengan sendirinya. Beliau mempunyai seorang sahabat yang sangat baik, Lina yang sentiasa bersamanya, terutamanya pada waktu-waktu sukar yang dia hadapi. Nilai persahabatan sejati kerana Ilahi ditunjukkan pada kedua-dua watak ini. Satu dialog yang terkesan di hati, daripada Lina, "selama mana aku menjadi temanmu dan kamu membuat kebaikan aku turut dapat kebaikannya".
Banyak pengajaran dan peringatan yang dapat dikutip sepanjang pembacaan novel ini (terutamanya bagi yang sedang ikhtiar jodoh). Antaranya ialah kehidupan ini berproses. Sekiranya yang datang meminangmu tika itu sedang meniaga kecil-kecilan, InsyaAllah dengan kerajinan dan ketekunannya dia lama kelamaan dia mampu mempunyai perniagaan yang berkembang dan maju. Yang pastinya calon suami yang soleh dan baik akhlaknya itu pilihan utama.
Jalan cerita yang menarik ditambah lagi dengan penulisan Habiburrahman yang puitis dan indah sekali menambah lagi keasyikan membaca novel ini. Penulisannya kemas, menarik dan tidak kurang juga informatif apabila negara China menjadi salah satu latar tempat dalam novel ini.
Akhir tulisan, novel Cinta Suci Zahrana benar-benar sebuah karya pembangun jiwa!

Comments
Post a Comment