Assalamualaikum wbt.,
Salam refleksi diri,
Salam celik mata hati.
Rasanya, ini kali ke-2 saya membaca karya dari Indonesia dengan sepenuh hati selepas kali pertamanya, Cinta Suci Zahrana karya Kang Abik. Malah, saya sifatkan membaca karya ini memberi satu energi pada diri yang telah lama saya tidak rasai, hanya semasa waktu bergelar mahasiswa (lapan tahun yang lalu).
Usai membaca buku ini, saya jadi cemburu...cemburu dengan sosok penulis, Fahd Pahdepie yang sungguh Muda. Berdaya. KaryaRaya.
Buku Muda. Berdaya. KaryaRaya ini ditulis dalam bentuk jurnal menjadikannya bahan bacaan yang santai, namun berisi. Keseluruhan buku ini adalah refleksi diri penulis dalam menjalani pelbagai pengalaman dalam hidupnya. Saya sukakan penulisan seperti ini kerana bagi saya sentiasa ada perkara yang boleh dipelajari daripada pengalaman orang lain. Pengalaman mereka juga mampu menginspirasi malah mampu menyelamatkan kita daripada membuat kesilapan-kesilapan yang tidak perlu.
Saya berasakan buku ini datang kepada saya tepat pada waktunya. Buku ini boleh dikatakan sebagai buku motivasi untuk individu yang memerlukan. Mereka yang berasa hebatnya ditimpa ujian, diperkecilkan malah diragui kemampuan diri, terkurung dalam penjara diri sendiri, semuanya mampu mendapatkan pertolongan melalui kata-kata baik dan semangat daripada buku ini. Malah, saya mengetahui tentang buku ini melalui ringkasan sesi space di Twitter yang dianjurkan oleh penerbit buku JIWA, membicarakan, "Buku yang dibaca saat diri lelah".
Hidup ini bukan tentang berapa lama kita menjalaninya, tetapi berapa dalam kita memaknainya
Saya kira buku ini juga sesuai dijadikan bahan peniup semangat untuk berkarya. Penulis mengajak pembaca untuk berkarya kerana dengan berkarya kita mampu berbagi (berkongsi) dengan yang lainnya. Daripada berkarya banyak kebaikan dapat disebarkan, malah penulis sendiri menceritakan begitu banyak perubahan demi perubahan yang berlaku dalam hidupnya dengan berkarya. Itu yang dimaksudkan oleh penulis dengan "KaryaRaya". Berkarya itu memberi kepuasan yang tak tergambarkan dan tak terbandingkan dengan apapun di dunia ini. Bagi saya yang sentiasa memasang niat untuk menjadi penulis, sudah tentu nasihat dan galakan seperti ini ibarat vitamin untuk saya.
Apa-apa yang tertulis akan kekal, apa-apa yang terucap akan hilang ditelan angin
Pada bahagian akhir buku ini, penulis menginspirasi pembaca untuk menebarkan kebaikan sekecil apapun. Tidak perlu tunggu kaya, bantuan boleh jadi dalam pelbagai bentuk bukan hanya wang ringgit semata-mata.
Akhir sekali, saya berpendapat membeli dan membaca buku ini sangatlah berbaloi. Malah, daripada tajuk buku itu sendiri memberi makna yang cukup dalam. Sesuatu yang ada kalanya menerjah fikiran dan menyapa perasaan saya, iaitu usia muda yang sangat berharga dalam keadaan saya masih punya banyak daya. Justeru, ada baiknya saya mengkayakan diri dengan berkarya.
Moga Allah berikan keberkatan waktu untuk saya. Aamiin ya Rabb 🤲🏻
![]() |
Boleh dapatkan buku ini di Shopee; booksbynur |
Comments
Post a Comment