Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang Esa.
Hari ini 1.1. 2022
Menyorot tahun lalu, 2021 suatu pengajaran yang sangat berharga adalah ujian dalam kerjaya saya yang sebelum ini hanya tenang-tenang sahaja. Namun, tiba-tiba berkocak hebat...menuntut diri berfikir lebih dan lebih lagi, "apa nilai diri ini?". Dipertemu dengan insan yang sangat menguji kesabaran diri sangatlah meletihkan. Malah, belum pernah saya temui insan yang mengocak kesabaran saya setahap itu, di mana-mana halaman dalam kisah hidup saya. Luar biasa, menyentak jiwa hingga mengganggu rasional diri.
Sungguh dalam setiap ujian pasti ada hikmah yang Allah SWT kirimkan. Satu yang ketara pada diri ini ialah ruang perbincangan sentiasa ada, dan saya sentiasa boleh menyuarakan apa yang saya rasa kepada pihak yang berautoriti. Berani menyatakan kebenaran dengan cara yang betul kepada insan yang betul. Itu kuncinya, saya percaya. Walaupun mungkin sekali tiada tindakan daripada pihak sebelah sana, paling tidak saya berasa lega, ikhtiar daripada saya dengan berusaha untuk berkomunikasi secara berkesan dan jelas telah saya lakukan.
Baiklah, tinggalkan saja kisah penuh kejutan dan duka ini.
Kini, masa untuk memandang ke hadapan. Saya mengharapkan begitu banyak kebaikan pada tahun 2022. Saya katakan tahun ini, tahun melunas janji kepada diri. Paling utama dalam ingatan ini (malah semasa jari-jemari ini mengetuk aksara demi aksara), impian saya ingin mula menerbitkan buku. Menjadi penulis yang menyebarkan sebanyak-banyaknya kebaikan dan menjadi penulis yang disayangi Tuhan. Ketakutan sentiasa ada, walaupun sebesar hama apabila mengingatkan impian yang satu ini. Tetapi, itulah yang sentiasa tersimpan dalam sanubari ini, ingin menjadi penulis.
Moga Allah membimbing usaha saya selalu. Aamin ya Rabb.
Comments
Post a Comment