Banyak hal yang berlaku kepada saya malah juga keluarga. Dalam keriangan dan kesyukuran menyambut Syawal yang akhirnya tahun ini, tahun 2022 kita semua kembali dapat menyambut seperti biasa, seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda hinggalah ke hari ini Syawal bakal melabuhkan tirainya, hal ini masih mengganggu diri saya.
Putus cinta mungkin perkara biasa, hatta putus tunang sekalipun. Yang berkahwin pun boleh bercerai, inikan pula hubungan yang tiada sebarang ikatan yang sah di sisi agama mahupun undang-undang. Ungkapan ini kita biasa dengar bukan? Kebalikannya kali ini, hal putus ikatan ini terjadi kepada ahli keluarga saya yang terdekat, sangat dekat bagi saya, iaitu adik saya.
Cubit peha kanan, peha kiri terasa. Inilah situasi yang tepat untuk menggambarkan keadaan saya. Entah, saya selalu begitu dengan adik beradik saya. Mungkin sekali kerana saya seorang perempuan, nalurinya lebih halus lebih sensitif apatah lagi dalam hal-hal yang sebegini.
Bayangkan, kita diberikan peluang dan kemaafan lagi dan lagi. Malangnya, kita gagal menghargai peluang dan kemaafan itu sehinggalah tiada ruang kemaafan dan peluang untuk kita lagi. Sesuatu yang tak terbayangkan dalam hidup saya. Sesuatu yang kita tak terbayangkan, namun tetap boleh terjadi dalam hidup kita. Lalu, saya mengambil iktibar daripada tragedi ini. Elemen sabar dan syukur mesti kita suburkan dan kayakan dalam diri.
“InsyaAllah, bimbinglah daku selalu Tuhanku”.
Untuk kamu, yang mana kita tidak sempat memegang gelaran kakak-adik ipar;
Kalaulah kamu bersabar…
Sedikit sahaja, tidak perlu sampai ke langit tinggi sabarnya,
Kalaulah kamu bersyukur…
Sentiasa mengenangkan banyak kebaikan insan kepada kamu,
Pasti kamu tidak akan tersungkur begini…
Meratap kasih yang putusnya tidak akan bersambung lagi,
Lebih malang lagi, angkara kamu sendiri.
Pedih memang pedih. Namun, kehidupan mesti diteruskan. Untuk adik kesayangan, yang satu-satunya saya punya moga cepatlah kamu bangun dari cinta lama yang jenuh kamu bendung, tetapi tetap sahaja cinta itu jatuh berderai ibarat kaca terhempas ke batu.
Wallahua’lam. Moga Allah SWT sentiasa melindungi insan-insan yang saya sayangi.
![]() |
Akhirnya, saya kembali kepada prinsip hidup yang satu ini. Yang saya pegang dan saya yakini, lebih-lebih lagi semenjak saya berumah tangga. |
Comments
Post a Comment