Nafas ditarik dalam seraya dihembus perlahan. Melepaskan lelah yang kian terasa di jiwa. Ini baru permulaan, baru di peringkat cerai lampin yang saya sedang usahakan! Fasa kuarantin di rumah untuk kami sekeluarga saya gunakan sebaiknya untuk mengusahakan latihan cerai lampin untuk si puteri sulung, Nuha. Bukan tiga hari sahaja yang diperuntukan, malah tujuh hari! Namun…nampaknya gagal latihan pertama kali ini.
Saya tertanya-tanya sendiri…bagaimana agaknya emak dan abah saya menghadapi banyak kekecewaan sepanjang mereka membesarkan saya. Kini, giliran saya.
Di sebalik kegagalan ini, jauh di sudut hati saya percaya…lambat atau cepat, Nuha pasti belajar. Dia akan berjaya juga menggunakan tandas sebagai tanda dia mampu berdisiplin dan berdikari dalam menguruskan diri. Saya ingatkan diri untuk berlapang dada sahaja dengan kegagalan ini. Masakan ini baru langkah awal dari beribu-ribu langkah lagi yang bakal dia jalani.
Mengenangkan hal ini, pada minggu ini juga saya terlihat dua hantaran di media sosial berkenaan dengan pencapaian cemerlang anak masing-masing. Hati saya mengagumi. Bagaimana kaedahnya mereka mendidik anak-anak sampaikan mampu secemerlang itu dalam akademik dan juga penglibatan lain di sekolah? Saya jadi berkeinginan yang sama buat anak-anak saya yang masih kecil ketika ini. Saya fikir dengan kesabaran yang tidak berpenghujung dalam mendidik anak-anak bersama dengan doa ikhlas lagi tulus kepada Ilahi…saya fikir itulah formulanya dalam kemenjadian anak-anak.
Jadi, apalah sangat Hidayah dengan gagal kali pertama dalam usaha bercerai lampin anak sulung! Yang penting kita mesti percaya bahawa anak-anak kita pasti berjaya! Kalaupun bukan sekarang sudah tentu nanti pada tempoh masanya yang tersendiri.
Ayuh, berlapang dada sentiasa sepanjang kembara membesarkan anak-anak! Bukan berjaya sahaja yang dikejar, tetapi proses belajar itu jauh lebih bermakna.
Comments
Post a Comment