Menyorot awal-awal tahun perkahwinan saya…sehingga ke hari ini, ada rasa kesyukuran yang tak tergambarkan di dalam hati. Begitu banyak rahmat-Nya kepada kami. Pernah terdetik di dalam hati kecil saya, “susah pada awal perkahwinan ini semua pun pasti merasa”.
Susah? Skopnya pula luas. Boleh jadi dalam kewangan, boleh jadi dalam membina keserasian, malah boleh jadi dari pelbagai sudut. Dan saya…tidaklah melebih-lebih sekiranya saya mengatakan bahawa saya merasai semuanya! Semua kesusahan yang luas skopnya tadi.
Dari rumah mentua ke rumah sewa sendiri. Dari rumah sewa berpindah masuk ke rumah sendiri. Dari kerja yang gajinya dibayar tidak menentu ke pekerjaan yang lebih lumayan dan meyakinkan (dengan izin Allah segala-galanya). Inilah yang kami suami isteri lalui bersama.
Dari sudut keserasian yang membentuk persefahaman, tolak ansur, ihsan dan kasih sayang semuanya memerlukan masa untuk membinanya. Harus diingat, proses ini pula tidak akan pernah berhenti! Ada masanya bermandi air mata. Ada masanya masam mencuka riak wajah. Malah, ada masanya sampaikan terfikir ingin sahaja menghilangkan diri dek kerana sakit hati. Namun, pesan orang tua-tua bukan saja-saja. Sabar itu kunci menang dalam rumah tangga.
Telah saya sempurnakan istikharah saya sebelum melayari bahtera rumah tangga ini. Telah saya bermesyuarat dengan orang-orang yang saya paling percaya dalam mengambil keputusan yang maha penting ini.
Namun, tetap saja ujian tidak pernah berhenti datang dan menyapa. Akhirnya, sepanjang kembara rumah tangga ini, saya sedar satu hal yang terutama bahawa, istikharah itu juga perlukan mujahadah.
Comments
Post a Comment